|

Alhamdulillah, selesai sudah Mesyuarat Agung PIBG kali ke-37 tahun 2011 ini. Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh wakil Yang Berhormat Encik Chia Song Cheng, Tn Hj Madon bin Yusof, Pegawai Khas ADUN Kawasan Pengkalan Rinting.

Acara telah dimulakan pada pukul 10:00 pagi iaitu setelah selesai Hari Terbuka SKPR. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 795 orang ibu bapa murid SKPR. Kehadiran pada kali ini sangat memberangsangkan dan membuktikan bahawa ibu bapa murid- murid SKPR memberi kerjasama yang kuat dalam memastikan pencapaian murid di sekolah ini. Peningkatan kehadiran ialah sebanyak 700% berbanding pada mesyuarat agung ke-36 yang lepas iaitu hanya seramai 113 orang ibu bapa sahaja yang hadir. Ini ada kerana usaha pnetadbir dan guru- guru SKPR yang bertungkus lumus mengadakan pelbagai promosi dan aktiviti bagi menjayakan mesyuarat pada kali ini.

Antara agenda pada mesyuarat ini ialah pembubaran Ahli Jawatan Kuasa PIBG bagi sesi 2009/2011 bagi melantik AJK PIBG yang baru bagi sesi 2011/2013. Sesi pemilihan telah berjalan lancar dengan YDP PIBG yang lama, iaitu En Japri bin Ahmad dikekalkan sebagai YDP. Selain itu, banyak muka- muka baru telah dipilih secara undian bagi menerajui kepimpinan PIBG bagi sesi akan datang. Ini merupakan satu perubahan yang baik bagi memastikan pencapaian murid di SKPR.

Bersempena dengan mesyuarat agung ini juga, majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan UPSR 2010 telah dijalankan. Tn Hj Madon bin Yusof selaku wakil rasmi ADUN Kawasan Pengkalan Rinting telah diberi penghormatan untuk menyampaikan anugerah itu kepada 17 orang murid yang mendapat 5A dan 11 orang yang mendapat 4A1B pada UPSR 2010 yang lepas.

Selain itu juga, majlis penyampaian hadiah bagi kutipan Childthon terbanyak juga diadakan. Sebanyak 40 hadiah berupa Netbook, Kamus BESTA, barangan elektrik, dan hamper telah disampaikan kepada pemungut yang berjaya berada dalam senarai 40 tertinggi. Untuk lebih memeriahkan majlis, pihak PIBG juga menyediakan 30 hadiah untuk cabutan bertuah.
Majlis telah ditangguhkan pada pukul 1:30 petang. Pihak jawatankuasa pengelola Mesyuarat Agung PIBG Kali ke 37 merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun secara tidak langsung di dalam menjayakan majlis pada kali ini. Semoga ikatan ukhwah yang terjalin diantara ibu bapa dan guru- guru di SKPR ini akan berterusan pada waktu akan datang. |